Make your own free website on Tripod.com

NOSTAGIA BLACK 14 - Tahun 2000

"Di Bawah Bendera Ini, Kita Junjung REFORMASI"

oleh Ezam Mohd Nor

Semasa saya menjadi pelajar dahulu, saya sering diingatkan bahawa tugas golongan muda di Malaysia adalah untuk "mengisi kemerdekaan".Inilah slogan yang sering dilaung-laungkan, supaya anak-anak muda di negara kita menggembleng tenaga membina asas kemerdekaan yang dicapai oleh generasi yang terdahulu. Kata mereka, inilah cara terbaik membalas budi generasi ayahanda dan bonda kita yang bertungkus-lumus memerdekakan bangsa Malaysia daripada belenggu penjajahan.

Slogan "mengisi kemerdekaan" sebenarnya cukup bermakna.Pada saya dan rakan-rakan sebaya, maksud slogan ini adalah mempertahankan tanah air kita daripada musuh luar dan juga musuh dalam negara. Untuk kami, mengisi kemerdekaan bermakna memperjuangkan nasib yang lemah, memusnahkan rasuah, menghancurkan kezaliman dan menghukum penjenayah yang merompak wang rakyat untuk mengisi perut sendiri.

Gerakan REFORMASI adalah wadah yang dapat memenuhi makna slogan tersebut.

Saudara saudari yang merupakan golongan muda di Malaysia, pemuda dan pemudi, belia dan beliawanis, serta para pelajar sekalian, sempena Hari Memperingati Kezaliman Mahathir pada 14hb April ini, saya menyeru kepada saudara saudari sekalian agar menyambut laungan REFORMASI yang dijeritkan oleh rakyat Malaysia yang dahagakan keadilan!

Kita sudah terlalu lama dibelenggu oleh penjajah yang terdiri daripada bangsa kita sendiri.Mahathir telah sewenang-wenangnya mempergunakan institusi kerajaan termasuk raja-raja Melayu, polis, hakim-hakim dan pejabat peguam negara demi memperlayakan kroni dan keluarganya.Kebebasan rakyat, termasuk pelajar, dikongkong dan disekat.Kita lemas dalam arena politik negara yang kotor lagi mengotorkan.Kita jijik dengan usaha jahat memenjarakan musuh politik dan menyiksa mereka dalam tahanan.

Anwar Ibrahim, seorang bekas pemimpin pelajar, pernah berjuang menuntut agar Mahathir jangan mempergunakan wang rakyat demi kepentingan sendiri.Kini Anwar dipenjarakan.

Kalau kita, golongan muda, membiarkan Mahathir berleluasa, negara ini akan jatuh miskin dan rakyat akan menderita.Mahathir akan terus menindas dan menekan rakyat.Kebebasan kita akan terus disekat. Melainkan kita bangkit dan menentang kezaliman ini. Hanya itulah cara yang tinggal!

Bertindaklah sebelum terlambat.Sebelum nafsu serakah Mahathir menjahanamkan negara ini, kita harus berkorban demi kebebasan!

Golongan muda yang bakal mewarisi negara ini harus turut serta membantu usaha menumbangkan Mahathir. Jika tidak, kita hanya akan mewarisi hampas dan sampah-sarap, warisan pemerintahan Mahathir yang bergelumang dalam rasuah dan kezaliman!

Bangkitlah tanpa takut!Ingatlah pesan Nabi Muhammad SAW dalam perjuangan Baginda menentang kezaliman, "Jangan gentar dan jangan takut, Allah SWT bersama kita!"

Insya Allah, perjuangan kita diredhai Tuhan dan akan mencapai kejayaan!

Sahutlah seruan ini.Di bawah bendera Malaysia di padang yang menyaksikan perisytiharan kemerdekaan, golongan muda akan bingkas menumpaskan kezaliman dan benar-benar mengisi kemerdekaan tanah air! REFORMASI!

 

Ezam Mohd Nor
Kuala Lumpur
13hb April 2000