NOSTAGIA BLACK 14 - Tahun 2000

via email

 

Kenyataan Lokman Noor Adam

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, Memorandum Rakyat telahpun selamat kita hantar kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong melalui Imam Besar Istana Negara semalam. Keputusan untuk menyerahkan memorandum tersebut terlebih dahulu sebelum perhimpunan adalah cadangan Dato' Sri Anwar Ibrahim sebelum saya, Sdr Ezam dan Sdr Zahid berangkat ke Sungai Petani 14hb lalu.

Memang tepat Sdr Anwar saya jadikan sebagai idola, bacaan politik dan ilmu firasatnya begitu jauh hebat daripada jangkaan saya. Bagaikan sudah menjangkakan apa yang akan berlaku semalam, walaupun berada dibelakang jejaring besi.

Saya amat terkejut, kenyataan yang dibuat oleh Bapa Kezaliman Malaysia, Mahathir Mohamad bahawa perhimpunan semalam tidak mendapat sambutan. Dari pengamatan saya, tidak kurang daripada 20,000 penyokong gerakan reformasi yang telah berjaya merempuh masuk kota Kuala Lumpur walaupun kawalan ketat dilakukan daripada setiap pintu masuk Kuala Lumpur. Malangnya mereka tidak dapat berhimpun dalam kumpulan yang besar akibat terlalu ramai "Kuda Tunggangan Mahathir" yang menjalankan tugas memecahkan setiap perkumpulan melebihi 7 orang.

Namun, beberapa perhimpunan dalam kelompok sederhana telah berjaya diadakan di Masjid Negara (1500-2000), Masjid India (700-1000), Pertama Kompleks dan Sogo (800-1000) dan Kg Baharu (400-600)orang. Ini menyebabkan rakan-rakan pimpinan seperti Sdr Tian Chua, Sdr Zahid Md Arip dan beberapa yang lain tidak dapat memunculkan diri dalam perhimpunan tersebut. Saya sendiri hanya berpeluang untuk muncul pada lewat petang akibat kesukaran untuk berhimpun dalam kumpulan yang besar. Bersyukur kehadrat Allah, kerana Memorandum Rakyat dapat jua akhirnya dibacakan kepada mereka yang berhimpun walaupun kesempatan untuk berhimpun lama terbatas.

Buletin TV3 hari ini, sekali lagi meminta agar saya, Sdr Zahid Md Arip dan Sdr Sanusi Abdullah untuk menyerah diri kepada pihak Polis. Sdr Zahid dan Sdr Sanusi mungkin akan mempertimbangkan permintaan tersebut. Tapi saya memohon maaf kerana tidak dapat berbuat demikian sebab saya telahpun diamanahkan oleh Sdr Ezam Mohd Nor untuk memastikan Memorandum ini akan sampai kepada semua DYMM Raja-Raja Melayu bermula dengan DYMM Sultan Kedah di Istana Anak Bukit, 21hb April ini. Perhimpunan aman untuk menyerahkan Memorandum Rakyat ini akan tetap saya teruskan atau teman-teman lain teruskan sehinggalah kami mendapat arahan terus daripada Sdr Anwar Ibrahim atau Sdr Ezam Mohd Noor daripada "Luar Tahanan" untuk berbuat sebaliknya.

Saya juga ingin menegaskan bahawa saya hanya akan memberikan kerjasama kepada Pasukan Polis Di-Raja Malaysia yang menjalankan tugas mereka secara profesional, menjaga keamanan Negara dan berkhidmat untuk rakyat. Polis yang membuta tuli menurut perintah Mahathir Mohamad, memukul rakyat, menyalahgunakuasa, rasuah, zalim dan tidak ubah seperti Polis DiRaja Mahathir, jangan mimpi untuk mendapat kerjasama daripada saya. Mereka ini bukan sahaja zalim tapi pemalas. Semenjak bila Polis guna tektik minta orang yang dikehendaki menyerah diri, kalau saya benar-benar diperlukan kerjalah sikit untuk tangkap saya. Kalau saya yang hanya seorang ahli politik tidak mampu mereka tangkap, bagaimana rakyat negara ini mampu meyakini bahawa mereka akan selamat daripada diancam penyenayah.

Salam Perjuangan untuk semua

 

LOKMAN ADAM
OT31/98
1.15am - 17hb April, 2000