Anwar Wajib Bebas 14 April 2003


Tarikh 14 April 2003 telah lama dinantikan oleh rakyat di negara ini dan pemerhati di seluruh dunia untuk melihat bermulanya langkah memperbetulkan sedikit demi sedikit segala kezaliman yang telah dilakukan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, keluarga beliau serta sebahagian besar rakyat Malaysia sejak tahun 1998.

Usaha mengubati luka yang berpunca dari episod pemecatan, pengaiban, penganiayaan dan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bermula dengan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri. Sebahagian besar rakyat Malaysia, yang sebelum ini tidak pernah terlibat di dalam aktivisma politik, tersentak dengan episod kezaliman itu akibat kerakusan percaturan politik dalaman Umno. Sehingga luka itu mula diubati, kemarahan rakyat terhadap institusi pemerintahan di negara ini tidak akan reda, dan akan membawa implikasi jangka panjang kepada pertumbuhan dan kendiri negara di masa hadapan.

Walaupun agenda pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 14 April 2003 banyak berkisar di sekitar hujah perundangan, namun secara umumnya rakyat dan pemerhati melihatnya sebagai satu keputusan politik, bukannya perundangan. Malah, ramai yang sedar bahawa jika kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dihakimi berdasarkan asas perundangan semata-mata semasa perbicaraan dahulu tanpa adanya campurtangan politik, kes-kes tersebut sepatutnya telah lama dibuang tanpa perlu dibicarakan.

Kekuatan hujah undang-undang yang menyebelahi Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tidak perlu dipersoalkan lagi. Bukan sahaja bekas hakim atau pengamal undang-undang di negara ini yang mempersoalkan keputusan- keputusan yang diambil sepanjang perbicaraan beliau, malah di peringkat antarabangsa, pemerhati-pemerhati dari badan perundangan antarabangsa - sama ada hakim atau peguam - sebulat suara mengkritik proses perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak adil dan bermotifkan politik.

Pada 14 April 2003 ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya dibebaskan kerana telah menghabiskan dua pertiga daripada hukuman penjara selama enam tahun yang dijatuhkan oleh Hakim Datuk Augustine Paul pada 14 April 1999.

Berdasarkan amalan sistem pemenjaraan di negara ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajib dibebaskan kerana pelepasan satu pertiga hukuman adalah satu amalan perundangan yang diperuntukan kepada semua tahanan.

Berdasarkan penelitian hujah undang-undang mengenai ikat jamin, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajib dibebaskan kerana pelbagai keputusan yang dibuat dalam kes-kes selepas kes Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas menunjukkan bahawa beliau berhak dibebaskan dengan ikat jamin.

Berdasarkan pertimbangan kemanusiaan Datuk Seri Anwar Ibrahim wajib dibebaskan kerana beliau telah terlalu lama menanggung penderitaan akibat keretakan tulang belakang yang sehingga kini belum dirawat. Hanya dengan pembebasan, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh menjalani pembedahan mikro endoskopik pilihannya, yang mempunyai risiko rendah berbanding pembedahan berisiko tinggi yang ditawarkan oleh kerajaan.

Berdasarkan pertimbangan moral, sehingga kini mereka yang menguasai pemerintahan negara yang melemparkan pelbagai tuduhan terhadap beliau masih gagal meyakinkan rakyat bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalah. Sebaliknya, kemarahan rakyat yang memuncak selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara masih belum padam kerana para pemfitnah beliau masih gagal mengemukakan sebarang bukti yang boleh diterima akal.

Walau bagaimana pun, seperti yang dimaklumi umum, agenda pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkait rapat dengan pertimbangan politik penguasa. Tidak kira berapa kuat pun fakta undang-undang yang menyebelahi Datuk Seri Anwar Ibrahim, sukar untuk beliau mengecapi kebebasan semula sekiranya campur tangan politik di dalam institusi kehakiman negara berterusan.

Justeru, agenda pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar diperjuangkan melalui wadah politik selain dari saluran undang-undang. Setiap rakyat di negara ini mempunyai tanggungjawab sivik dan moral untuk menghantar mesej yang jelas kepada penguasa politik di negara ini bahawa tidak boleh ada campur tangan politik yang cuba mempengaruhi keputusan mahkamah berhubung hak ikat jamin dan rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim.