Kenapa Anwar Perlu Bebas 14 April:
Hujah Undang-undang

Latar Belakang

Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan dua hukuman penjara berasingan masing-masing pada 14 April 1999 dan 8 Ogos 2000.

Hukuman pertama selama 6 tahun dijatuhkan oleh Datuk Augustine Paul bersabit dakwaan menyalahgunakan kuasa. Hukuman kedua selama 9 tahun dijatuhkan Datuk Ariffin Jaka bersabit dakwaan fitnah salahlaku liwat. Kedua-dua hukuman diputuskan berjalan secara berasingan, iaitu DS Anwar perlu menjalani hukuman penjara 6 tahun dahulu, kemudian diikuti dengan hukuman 9 tahun.

Rayuan bagi kes salahguna kuasa telah pun sampai ke peringkat Mahkamah Persekutuan, iaitu mahkamah tertinggi di negara ini. Mahkamah Persekutuan telah menolak rayuan DS Anwar pada 10 Julai 2002, walaubagaimana pun satu panel khas hakim akan mendengar semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes tersebut pada 18 Mac 2003. Pada 14 April 2003, DS Anwar Ibrahim layak untuk dibebaskan memandangkan beliau telah menjalani sepenuhnya hukuman tersebut dengan pelepasan satu pertiga tempoh hukuman, yang merupakan amalan biasa di negara ini.

Bagi kes kedua, Mahkamah Rayuan baru menetapkan tarikh 24 Mac 2003 ini untuk mula mendengar rayuan DS Anwar Ibrahim, itu pun selepas peguam DS Anwar menghantar surat sebanyak 6 kali meminta supaya pendengaran rayuan itu tidak dilengah-lengahkan setelah 21/2 tahun ditangguhkan. Oleh kerana proses rayuan belum pun bermula, DS Anwar

tidak perlu menjalani hukuman 9 tahun penjara sehinggalah rayuannya selesai didengar dan diputuskan di peringkat tertinggi. Oleh yang demikian, seharusnya dibebaskan dengan ikat jamin sehinggalah kes rayuan beliau selesai.

Hujah Perundangan Kenapa Datuk Seri Anwar Ibrahim Perlu Dibebaskan

1) Adalah menjadi amalan Jabatan Penjara Malaysia, tahanan yang berkelakuan baik akan diberikan pelepasan 1/3 dari tempoh tahanan. Seseorang tahanan secara amnya dikira telah berkelakuan baik, kecuali ada melakukan kesalahan besar seperti cuba melarikan diri dari penjara.

Oleh yang demikian, DS Anwar Ibrahim juga berhak menerima pelepasan 1/3 dari tempoh hukuman penjara 6 tahun yang dijatuhkan. Hak DS Anwar diperkukuhkan lagi apabila Tan Sri Rahim Noor yang membelasah beliau sehingga hampir maut hanya menjalani hukuman penjara selama 40 hari sahaja - iaitu selepas mendapat pelepasan 1/3 dari tempoh hukuman 60 hari ke atas beliau.

2) Hukuman kedua selama 9 tahun masih belum berjalan kerana ia berjalan secara berasingan. Oleh itu, DS Anwar Ibrahim sepatutnya dibebaskan dengan ikat jamin sementara proses rayuan berjalan.

Sehingga kini, bukan sahaja proses rayuan tidak lagi tamat, malah ianya masih belum bermula.

3) Kesalahan DS Anwar Ibrahim di bawah Seksyen 4 Ordinan 22 adalah kesalahan yang mana tertuduh boleh diikat jamin sehingga proses rayuan tamat. Keputusan mahkamah sebelum ini menunjukkan semua tertuduh yang dihadapkan ke mahkamah di bawah seksyen yang sama dibenarkan ikat jamin. Datuk Seri Anwar Ibrahim mencipta sejarah perundangan negara apabila menjadi satu-satunya tertuduh di bawah Seksyen 4 Ordinan 22 yang tidak dibenarkan ikat jamin.

Mengikut Seksyen 388 (1), Kanun Prosedur Jenayah, tanggungjawab membuktikan bahawa DS Anwar Ibrahim tidak boleh dibenarkan ikat jamin terletak di bahu ppihak pendakwaan, dan keputusan itu bergantung sepenuhnya kepada pertimbangan mahkamah.

4) DS Anwar Ibrahim dihadapkan ke mahkamah dan dibicarakan bersama-sama Sukma Darmawan. Selepas dijatuhkan hukuman, Sukma dibebaskan dengan ikat jamin sehinggalah proses rayuan selesai. Ini bermakna jika DS Anwar

belum menjalani apa-apa hukuman pada ketika itu, peraturan yang sama juga seharusnya digunapakai dan beliau sepatutnya dibenarkan ikat jamin sehingga proses rayuan tamat.

5) Dalam tahun 2002 sahaja, dua orang yang dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh telah dibenarkan ikat jamin, sedangkan ikat jamin tidak dibolehkan bagi pertuduhan seberat itu. Salah seorang dari mereka, seorang usahawan Cina akhirnya didapati bersalah, seorang lagi iaitu peguam terkenal (Datuk Balwant Singh) masih menunggu perbicaraan.

Hakim yang membenarkan ikat jamin terhadap Datuk Balwant Singh, peguam terkenal itu ialah Datuk Augustine Paul. Beliau menggunakan hujah-hujah yang bertentangan dengan hujah-hujahnya semasa menolak permohonan ikat jamin Datuk Seri Anwar untuk membebaskan Balwant Singh. Ini termasuklah membenarkan ikat jamin Balwant Singh atas alasan peguam itu adalah tidak sihat, sedangkan DS Anwar yang memerlukan pembedahan segera di luar negara untuk merawat keretakan tulang belakang beliau tidak dibenarkan.

6) Alasan hakim-hakim yang menolak permohonan ikat jamin sebelum ini iaitu kononnya DS Anwar Ibrahim boleh mengugut saksi tidak lagi boleh digunapakai kerana perbicaraan di peringkat rayuan tidak melibatkan saksi. Malah, hujah yang sama, iaitu tertuduh tidak boleh mengugut saksi, digunakan oleh Hakim Datuk Augustine Paul untuk membenarkan ikat jamin Balwant Singh, oleh itu telah wujud precedent dalam keputusan mahkamah yang menguatkan lagi hak Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dibebaskan dengan ikat jamin.