Kronologi Peristiwa Pemecatan
& Pemenjaraan DS Anwar Ibrahim

:: Menjelang Perhimpunan Agung Umno 1996, buku '50 Dalil Kenapa Anwar Tidak Boleh Menjadi Perdana Menteri' karangan Khalid Jefri diedarkan secara meluas. Malah, pihak sekretariat penganjur sendiri terlibat memasukkan buku-buku itu di dalam beg persidangan yang diberikan kepada semua perwakilan yang hadir. Pengedaran buku tersebut mengesahkan wujudnya konspirasi yang didalangi pemimpin tertinggi Umno untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

:: Dalam minggu-minggu menjelang pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, beberapa orang telah ditahan polis dipercayai bagi tujuan mendapatkan pengakuan palsu berkenaan fitnah salahlaku seks beliau. Antara yang turut ditahan termasuklah Datuk S Nalakaruppan, yang diseksa polis untuk mengaku beliau bertanggungjawab menyediakan pelacur kepada Datuk Seri Anwar, serta Dr Munawar Anees dan Sukma Dermawan yang turut diseksa untuk mengaku mereka pernah melakukan hubungan seks sejenis dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

:: Pada 2 September 1998, Perdana Menteri dan presiden Umno Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

:: Pada 3 September 1998, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno untuk memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Umno, sekaligus melucutkan semua jawatan beliau dari parti itu.

:: Selepas berita pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan, keesokan harinya akhbar-akhbar utama di bawah kawalan Umno menyiarkan di muka depan dan secara besar-besaran berita penangkapan Datuk S Nalakaruppan, Dr Munawar Anees dan Sukma Dermawan kononnya sebagai bukti salahlaku seks Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tidak cukup dengan itu, Perdana Menteri juga dalam satu siaran langsung menuduh kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah seorang 'peliwat yang terbabit dalam pelbagai aksi seks lucah'.

Fitnah dan episod pemecatan Datuk Seri Awar Ibrahim yang dibuat dengan cara yang hina dan mengaibkan membuakkan kemarahan rakyat. Akibatnya berlakulah beberapa siri demonstrasi membantah cara zalim beliau dipecat yang melibatkan ratusan ribu orang terutamanya di Kuala Lumpur. Dalam konteks sejarah politik Malaysia yang masih muda, siri demonstrasi seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

:: Pada 20 September 1998, selepas berucap di dalam satu perhimpunan rakyat di Masjid Negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Rumah beliau dipecahkan dan dirempuh oleh sepasukan komando polis siap bersenjata dan bertopeng dengan dibantu ratusan polis bantuan.

:: Pada 29 September 1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil di khalayak ramai buat pertama kalinya dengan matanya lebam akibat dibelasah di dalam tahanan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor, dalam keadaan tangannya bergari dan matanya tertutup. Peristiwa mata lebam itu menimbulkan kemarahan rakyat dan pemerhati antarabangsa dan memperhebatkan kritikan terhadap rekod hak asasi manusia kerajaan UMNO dan Barisan Nasional.

:: Datuk Seri Anwar Ibrahim dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dengan 10 tuduhan. Beliau mengaku tidak bersalah bagi kesemua tuduhan dan minta dibicarakan. Kes beliau kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

:: Perbicaraan bagi empat kes pertama bermula pada 2 November 1998 di hadapan Dato’ Augustine Paul.

:: Tarikh DS Anwar Ibrahim dituduh melakukan salahlaku seks terpaksa dipinda sebanyak empat kali oleh pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Tan Sri Mokhtar Abdullah kerana pihak pembelaan berjaya membuktikan alibi bagi setiap tarikh. Walaubagaimanapun kehadiran alibi yang kukuh tidak diendahkan oleh mahkamah.

:: Pada 12 Januari 1999, Hakim Datuk Augustine Paul mengejutkan dunia perundangan apabila dia mengarahkan agar empat tuduhan pertama dipinda dengan membuang pertuduhan “untuk menafikan kamu melakukan salahlaku seks dan liwat bagi melindungi diri kamu” dari pertuduhan asal bagi membantu kes pendakwaan. Akibat dari pindaan itu, pendakwaraya tidak perlu lagi membuktikan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar melakukan salahlaku seks seperti yang dijadikan alasan untuk memecat dan memenjarakan beliau.

:: Pada 14 Januari 1999, Hakim sekali lagi membuat kejutan dengan membuang rekod yang menyentuh fitnah salahlaku seks dan liwat dari rekod mahkamah.

:: Datuk Seri Anwar Ibrahim, melalui panel peguam beliau pada 16 Mac 1999 membuat permohonan untuk dibicarakan oleh hakim lain kerana Hakim Datuk Augustine Paul telah bertindak untuk menafikan beliau mendapat satu perbicaraan yang adil. Permohonan tersebut ditolak oleh hakim yang sama.

:: Selepas perbicaraan selama 77 hari, Datuk Seri Anwar Ibrahim didapati bersalah oleh Hakim Datuk Augustine Paul dan dijatuhkan hukuman enam (6) tahun penjara.

:: Pada 7 June 1999, DS Anwar Ibrahim dihadapkan di hadapan Hakim Datuk Ariffin Jaka bagi menghadapi kes yang kedua iaitu dakwaan salahlaku seks liwat.

:: Pada masa yang sama, DS Anwar juga mengemukakan rayuan bagi kes pertama tetapi telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 29 April 2000.

:: Perbicaraan atas tuduhan liwat menjadi gamat dan sensasi apabila saksi-saksi pendakwa sendiri membuat kenyataan yang bercanggah di mahkamah. Orang yang mengaku DS Anwar Ibrahim meliwatnya, iaitu Azizan sendiri mengaku di dalam mahkamah bahawa ia tidak pernah berlaku.

:: Walaubagaimanapun, seperti yang dijangkakan, DS Anwar Ibrahim tetap didapati bersalah oleh Hakim Datuk Ariffin Jaka pada 8 Ogos 2000 dan dijatuhkan hukuman sembilan (9) tahun penjara. Hukuman itu berjalan berasingan dan berturutan selepas menjalani hukuman kes pertama.

:: Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu kes pertama ke Mahkamah Persekutuan tetapi tetap ditolak oleh panel tiga hakim pada 10 Julai 2002.

:: Rayuan bagi kes kedua akan bermula 24 Mac 2003 ini selepas ditangguh lebih 2˝ tahun tanpa sebarang alasan munasabah..