PAS TUNTUT KEADILAN KE ATAS KES ANWAR IBRAHIM
Tuesday, March 11 @ 16:34:25 MYT
- ihsan harakahdail
y

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Hrkh) - PAS akan terus menuntut keadilan dan pembebasan untuk Dato' Seri Anwar Ibrahim sekaligus berharap mahkamah tidak dipengaruhi oleh kepentingan atau tekanan politik tertentu, kata Pemangku Presiden parti itu, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang itu berkata, beliau sendiri dan para pemimpin PAS lain akan hadir ke mahkamah pada April ini untuk memberikan sokongan moral kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Perbicaraan bekas TPM itu dijadualkan berlangsung pada 18 April depan bagi semakan semula terhadap kes pertama (pensabitan rasuah) dan rayuan untuk kes kedua (pensabitan liwat) beliau dijangka bermula 24 April ini.

"Sejak awal lagi kami meyakini bahawa pendakwaan dan pemenjaraan Anwar adalah suatu konsprasi yang melibatkan pemimpin atasan dan instrumen utama kerajaan," kata beliau.

Beliau berkata, perjalanan mahkamah dan penghakiman, termasuk penafian ikat jamin, mencipta keterangan, meminda pertuduhan, menafikan hak untuk mengemukakan saksi dan kejadian mengugut sewaktu dan selepas tamatnya kes itu mengesahkan pendirian itu.

Anwar mula menjalani hukuman penjara bagi sabitan pertama (rasuah) pada 4 April 1998 dan tempoh ini dijangka tamat pada 14 April depan.

"Rakyat sentiasa mengharapkan dan menunggu-nunggu pembebasan beliau selewat-lewatnya 14 April ini dan kami turut mendoakannya. Ini selari dengan tuntutan keadilan," jelas Abd Hadi di lobi parlimen tengah hari tadi.

Walaupun
dari sudut perundangan Anwar sepatutnya dibebaskan pada 14 April 2003 namun hakikat sebenarnya Anwar hanya akan bebas dengan desakan gelombang kebangkitan rakyat yang cintakan keadilan.