PBB memantau perhimpunan 14 Hitam' Sabtu ini

8pm, ISN: Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Mary Robinson, melahirkan rasa prihatin berhubung kemungkinan berlaku tangkapan terhadap pemimpin pembangkang menjelang perhimpunan besar-besaran pada Sabtu ini.

Robinson berkata suruhanjaya itu akan memantau dengan aktif perkembangan di negara ini dan menggesa semua pihak menghormati hak untuk bersuara secara aman.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan selama 30 minit dengan Nurul Izzah, anak sulung bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Parti KeADILan Nasional dan penyokong reformasi dijadualkan mengadakan satu perhimpunan di Masjid Negara sempena menyambut peristiwa 14 Hitam', genap setahun Anwar dijatuhkan hukuman enam tahun penjara.

Menurut aktivis Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Elizabeth Wong, yang menemani Izzah dalam pertemuan itu, "Robinson berkata pihaknya sedang memerhatikan perkembangan di Malaysia dengan teliti dan sangat prihatin (dengan apa yang berlaku)."

"Beliau menyatakan rasa gembira dapat mendengar sendiri perkembangan di negara ini dan melahirkan simpati kepada (isteri Anwar) Dr Wan Azizah dan keluarganya," beritahu Wong kepada malaysiakini dalam satu wawancara telefon dari Geneva, Switzerland.

Wong juga menerangkan kepada Robinson tentang penubuhan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia peringkat kebangsaan minggu lalu.

Menurutnya, Robinson menegaskan bahawa suruhanjaya kebangsaan itu "mesti menghormati norma-norma antarabangsa" dan suruhanjaya hak asasi PBB pimpinannya akan memantau perkembangan suruhanjaya di negara ini.

Wong memberitahu bahawa Robinson menyambut mereka dengan mesra dan melahirkan sokongan yang padu.

Izzah dan Wong dijangkakan pulang ke Malaysia esok.

Rabu lalu, Izzah memberitahu mesyuarat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB bahawa bapanya seorang tahanan politik yang tidak mendapat keadilan dalam sistem perundangan di negara ini.

"Ahli-ahli suruhanjaya ini mungkin menganggap saya mentah dan bermimpi kerana cuba mendapatkan bantuan untuk menyelesaikan masalah ketidakadilan dalam negara saya sendiri. Hakikatnya, tiada lagi tempat lain untuk mengadu apabila kami tidak boleh mengharapkan keadilan daripada institusi-institusi negara yang sepatutnya melindungi hak kami," katanya.

Suruhanjaya tersebut kini bersidang di Geneva untuk mendengar kes-kes pencabulan hak asasi manusia dari seluruh dunia. Ia mempunyai kuasa untuk meluluskan ketetapan berhubung isu-isu hak asasi manusia dan memberikan tekanan kepada kerajaan-kerajaan supaya menghormati norma-norma hak asasi manusia antarabangsa.

Izzah dan Wong merupakan dua anggota daripada rombongan enam orang aktivis hak asasi negara ini yang berkempen di badan dunia itu.

SOURCE: MalaysiaKini

Make your own free website on Tripod.com