NOSTAGIA BLACK 14 - Tahun 2000

The Black 14: Rentetan Penzahiran Haq dan Batil

Susunan: Al-Faqiru Ilallah, Muhammad ibnu Abdullah

"Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan fatan (fitnah/penderitaan/penyeksaan/pembunuhan) kepada orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, kemudian mereka tidak bertaubat, maka BAGI MEREKA AZAB JAHANNAM DAN BAGI MEREKA AZAB YANG MEMBAKAR”(Al-Buruj: 10) " “SESUNGGUHNYA SYAITAN ITU ADALAH MUSUH KAMU!, maka anggaplah ia musuh, kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala” (Al-Fatir: 6)

“MAKA APAKAH ORANG YANG DIJADIKAN (SYAITAN) MENGANGGAP BAIK PEKERJAANNYA YANG BURUK lalu dia meyakini pekerjaan itu baik, (sama dengan orang tidak ditipu oleh syaitan)?. Maka sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang dikehendakiNya dan menunjuki sesiapa yang dikehendakiNya; MAKA JANGANLAH KAMU BINASA KERANA KESEDIHAN TERHADAP MEREKA. SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENGETAHUI APA YANG MEREKA PERBUAT” (Al-Fatir: 8)

PERISTIWA 14

14 April yang lalu, seluruh dunia digemparkan dengan berita mengenai Sdr Anwar Ibrahim, pemimpin yang berimej Islam lagi beriman, dijatuhkan hukuman 6 tahun penjara. Beliau didakwa campurtangan dalam siasatan yang melibatkan skandal seks, homoseks dan anak luar nikah yang melibatkan dirinya serta beberapa orang lelaki dan wanita lain.

14 tahun yang lalu, 14 orang penduduk kampung, dengan dipimpin oleh Al-Ustaz Ibrahim Libya telah menemui syahid di medan Memali. Hujan tembakan gas pemedih mata dan peluru liar M-16 yang dimuntahkan oleh anggota-anggota UTK, PPH dan FRU yang setia membabi buta kepada Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri dan Menteri dalam negeri, pada ketika itu, samasekali tidak mengenal erti belas ihsan terhadap orang-orang yang beriman di hadapan mereka.

PERISTIWA 10 MUHARRAM

Perhimpunan Black 14 yang akan diadakan pada hari ini 10 Muharram 1421H akan turut mengingatkan umat Islam akan peristiwa hitam 14 kurun yang lalu apabila 70 jiwa beriman, yang dipimpin oleh cucunda Rasulullah s.a.w iaitu Saidina Husain b. Ali r.a. menemui syahid di medan Karbala akibat diserang hendap oleh 4000 tentera yang setia membabi buta kepada Khalifah Yazid b. Muawiyah. Hari 10 Muharam atau hari Asyura akan mengingatkan kita kepada kekejaman Bani Muawiyah dan Panglima tenteranya terhadap kumpulan Pemegang Panji Pembeda Kebenaran dan Keadilan Islam.

Sebelum daripada itu, Muawiyah b Abi Sufyan, yang dilahirikan serta dididik dalam kelompok aristokrat dan feudal Metro Mekah telah mengotorkan sejarah kegemilangan Islam apabila mula berkonfrontasi dengan Khalifah Ali b. Abi Talib k.w. (karromallahu wajhah). Begitu kontras sekali perwatakan antara keduanya; Saidina Ali b. Abi Talib k.w berperwatakan sebagai khalifah yang beriman, berjiwa rakyat, prihatin terhadap setinggan yang tidak bertanah, zuhud, anti kronisme, anti-nepotisme, fan tidak mementingkan projek mega. Muawiyah disebaliknya, sibuk dengan pelbagai projek mega seperti pembinaan istana-istana mewah, meminati pakaian-pakaian cantik, kagum dengan masjid-masjid yang indah dengan pelbagai hiasan dan ukiran, ghairah dengan pusat pemerintahan baru yang lebih “sofistikated” dibina menggunakan sumber wang rakyat dari baitul mal, pembahagian tanah-tanah untuk kepentingan politik, mengamalkan politik wang dengan membina pengikut-pengikut setia bukan dengan binaan iman dan taqwa, melantik kroni-kroni sebagai gabenor diwilayah terokaan baru, menghancurkan musuh politik beliau melalui fitnah dan peperangan, dan akhirnya memecahkan tradisi perlantikan Khalifah secara syura, dengan melantik anaknya sendiri, Yazid b. Muawiyah sebagai Khalifah.

Oleh kerana watak pilihannya itulah maka Khalifah Muawiyah b. Abi Sufyan telah tersingkir namanya dari carta Khulafa Rasyidin (Pemimpin yang Beroleh Petunjuk Ilahi) atau Khalifah bertaraf Universe.

SEJARAH KEMANUSIAAN YANG BERULANG

Sejarah pertentangan antara kebenaran dan kebatilan akan sentiasa berulang. Pelakon-pelakon utama serta, penyokong dan penonton yang baru akan mengambil alih peranan yang mereka kehendaki sebagaimana manusia diberikan kebebasan oleh Allah s.w.t memilih jalan hidup mereka. Kini sejarah tersebut berulang, kerana sebahagian besar manusia telah kembali menjadikan musuh mereka iaitu syaitan sebagai wali, pelindung dan teman setia. Walhal manusia semenjak Adam a.s telah diperintahkan oleh Allah supaya hanya mengambilNya sebagai wali:

Allahlah wali (pelindung/pemimpin) kepada orang beriman, Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya. Dan orang-orang kafir wali (pelindung/pemimpin) mereka adalah Thaghut (syaitan/kejahatan), ia mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya; mereka itulah penghuni neraka, mereka tinggal didalamnya buat selama-lama…(Al-Baqarah:257)

Watak Muawiyah dan watak Ali mempunyai wali-wali rujukan yang berbeza. Pertempuran dan krisis baru dijelmakan semula apabila Iblis berjaya memperalatkan manusia yang sanggup mendengar hasutan dan bisikan kejahatan sebagaimana Adam buat pertama kalinya dihasut. Dari zaman ke zaman yang tertentu, manusia yang mengambil Iblis sebagai rujukan dan idola akan mencetuskan krisis di dalam masyarakat manusia. Manusia lupa bahawa syaitan adalah musuh bukan sebaliknya. Mereka menjadikan syaitan sebagai teman setia.

Manusia yang bertuhankan syaitan (toghut) dan bertuhankan Allah akan terus bertempur dari masa kesemasa sehinggalah hari kiamat. Sebelum dari itu, Nabi Muhammad menghadapi Abu Jahal dan Pemuka Mekah, Nabi Isa dengan Pemuka Yahudi, Nabi Musa dengan Firaun, dan begitulah seterusnya. Proses pertembungan antara kebenaran dan kebatilan ini adalah rentetan drama dunia yang telah digambarkan oleh Al-Quran bermula sejak kejadian Adam a.s.

KISAH PERMUSUHAN IBLIS TERHADAP SAINGANNYA - MANUSIA

Menurut Al-Quran dan juga Injil, Iblis adalah dari golongan Jin yang ternama, menguasai sebahagian wilayah kerajaan dilangit pada satu ketika sebelum kejadian Adam a.s.

Sanjungan dan kehebatan yang diterima akhirnya menjadikan Iblis lupa daratan dan tersingkir dari carta makhluk Allah yang bertaqwa. Hasrat Allah s.w.t. untuk mencipta makhluk baru sebagai Khalifah yang tercipta dari bahan asas tanah mendapat tentangan keras dari Iblis dan bangkangan awal dari kelompok malaikat (al-Baqarah:30-33). Iblis yang dijadikan dari Api, khuatir bahawa kekuasaan, dan sanjungan yang dinikmati selama ini akan terjejas dengan pendatang baru, sedangkan malaikat pula khuatir berlaku pertumpahan darah sesama manusia kerana ciri-ciri kecenderungan naluri makhluk ciptaan terbaru ini, telah dapat diduga oleh kelompok malaikat yang sentiasa mensucikan Allah Azzawajalla.

Kebencian yang meluap ini sememangnya telah diketahui oleh Allah Maha Pencipta. Sebagai membuktikan kekuasaanNya, Allah s.w.t menyempurnakan penciptaan Adam sebagai manusia pertama. Setelah itu, di dalam satu majlis gilang-gemilang bagi menobatkan Adam sebagai Khalifah yang akan diberikan satu teritori kekuasaan baru iaitu planet bumi, Allah s.w.t. memerintahkan agar semua makhluk dilangit tunduk dan sujud memberi penghormatan kepada Adam (Al-Baqarah:34).

Iblis dan gabenor-gabenor yang setia kepadanya, sejak mula lagi tidak berpuashati dengan cara Allah mengendalikan pemerintahanNya, menunjukkan belang dengan mempamerkan keangkuhannya di hadapan malaikat dan makhluk Allah yang lain secara terbuka. Perintah Allah agar semua yang ada di majlis tersebut untuk tunduk memberi penghormatan kepada Adam tidak diendahkan oleh Iblis bahkan dengan sinisnya menjawab “Cis, Aku lebih mulia dari Adam kerana aku dijadikan dari Api sedangkan Adam hanya dari tanah yang hina.”…(Taha:116) Begitulah Allah menunjukkan kekuasaannya dengan membogelkan sikap munafiq Iblis yang tidak diketahui oleh sebilangan besar makhluk lain di langit, didalam majlis bersejarah tersebut.

Secara hikmahnya peristiwa di majlis tersebut dan hakikat penciptaan Adam adalah untuk menzahirkan antara ketulinan dan kepura-puraan (munafiq), antara haq dan batil, dan memisahkan antara yang taat dan yang kufur, yang mana sebelum daripada itu hanyalah dalam Ilmu Allah, yang tidak dapat diketahui dan disaksikan secara “live” oleh mahluk-makhluk di langit yang lainnya.

Walaubagaimanapun Allah s.w.t dengan sifat-sifat Kesempurnaanya (sebahagiannya “demokrasi”) terus memberikan peluang kepada Iblis dan tentera pemberontaknya (bughah) untuk menguasai sekelumit kecil wilayah dilangit, demi menzahirkan KebijaksanaanNya yang tidak difahami oleh sebilangan besar makhluk. Pemberian kekuasaan kepada kelompok pemberontak ini sama sekali tidak menjejaskan Kemuliaan dan Kekayaan Allah yang menguasai arash yang tertinggi, kerana apa yang diperolehi oleh golongan ini tidaklah mempunyai sebarang nilai disisiNya.

Permusuhan dengan Adam tidak berhenti di majlis tersebut. Dendam kesumat dan kedengkian tersebut sentiasa membakar di segenap sanubari Iblis. Semenjak itu Iblis sentiasa mengintai-ngintai peluang untuk “menjatuhkan” saingannya dengan permainan “politik” kotor.

Akhirnya disatu kesempatan yang berharga, Iblis dengan tipu helahnya berjaya melepasi kawalan keselamatan dan dapat menghampiri ciptaan baru Allah iaitu Adam dan Hawa di sebuah taman dilangit. Iblis berjaya memujuk mereka agar memetik dan memakan buah khuldi yang terlarang dengan menjanjikan sebelumnya kepada Adam dengan janji-janji palsu. Adam terpedaya dengan janji Iblis dan melupakan janji-janji Allah (al-Baqarah:35).

Menurut Iblis, sekiranya Adam makan buah yang dilarang itu, maka beliau akan menjadi kebal (immortal) iaitu tidak dapat disentuh oleh kematian yang begitu ditakuti oleh Adam (Taha:120).”Kamu makanlah buah ini, kamu tidak akan mati lagi….itulah sebabnya Allah tak bagi kamu memakannya” pujuk Iblis dengan bersungguh-sungguh”.

Akibat dari peristiwa (Taha:121) tersebut Allah memerintahkan agar Iblis, kumpulan pemberontak syaitan, Adam dan isterinya di usir dari wilayah kerajaan langit ke planet buangan yang sangat terpencil iaitu planet bumi (Al-Baqarah:36).

Apabila tersungkur ke bumi asal kejadiannya, barulah Adam insaf, sedar dan menyesal (Al-Baqarah: 37-38). Rupa-rupanya Iblis adalah pembohong@penipu besar. Sejak itu beliau sentiasa berasa khuatir, sedih dan terus menangis memohon keampunan dari penciptanya akibat terpedaya oleh janji-janji Iblis dan melupakan janji-janji Allah (Taha:117-119). Taubat Adam akhirnya diterima oleh Allah namun dengan amaran yang sangat keras. ”KALI INI SESIAPA SAHAJA YANG ENGKAR PERINTAH AKU, DIA BUKAN SAHAJA AKU SINGKIR DARI BUMI, BAHKAN AKAN AKU CAMPAK KEDALAM API NERAKA BUAT SELAMANYA !!! (Al-Baqarah: 39, Taha:122-124)

Iblis dengan iltizam yang tinggi untuk menyesatkan manusia, meneruskan usahanya kepada jenerasi kedua selepas Adam. Anak Adam yang bernama Qabil menjadi mangsa Iblis yang seterusnya. Qabil dihasut Iblis untuk membunuh Habil, saudara kandungnya sendiri kerana tidak berpuashati dengan peraturan Tuhan tentang soal beristeri dan penerimaan korban (Al-Maidah:27-31).

Iblis selaku ketua dan gerombolan pengikutnya yang digelar Allah sebagai syaitan terus bermaharajalela dengan menguasai sebahagian besar manusia selepas itu. Kemurkaan Allah dizahirkan apabila dizaman Nabi Noh, seluruh bumi telah ditenggelamkan dalam banjir besar. Sedikit sahaja kelompok makhluk Allah yang selamat, iaitu orang beriman dan haiwan-haiwan berpasangan yang menaiki bahtera Nabi Noh. Antara yang tenggelam termasuklah anak dan isterinya yang engkar .

PENGUASAAN IBLIS TERHADAP KEGELAPAN DAN KESESATAN

Kedengkian dan permusuhan Iblis terhadap saingannya, iaitu manusia semenjak peristiwa penghormatan Adam dalam majlis keraian yang diadakan oleh Allah dilangit masih tidak kunjung padam.

Menjelang alaf baru, di sebuah lokasi planet buangan terpencil ini iaitu Malaysia, Iblis terus mengenalpasti agen-agen baru yang bersedia berkhidmat kepada toghut dan kesesatan. Kelompok pemuka atau al-mala’ adalah “target group” (kumpulan sasaran) yang paling berdaya saing untuk direkrut ke dalam gerombolan mereka. Kelompok al-mala’ mempunyai kelebihan tersendiri kerana secara semulajadi, mereka telah mempunyai kumpulan pengikut yang kebanyakannya setia membabi buta.

Peristiwa fitnah zina dan homoseks bagi menjatuhkan Datuk Seri Anwar adalah pengulangan pertempuran antara haq dan batil, antara iman dan kufur, dan antara lakonan semula watak-watak kepimpinan Ali dan Muawiyah.

Seperti yang dijelaskan sebelum ini, kontras perwatakan adalah terlalu ketara antara keduanya; Saidina Ali b. Abi Talib k.w berimej sebagai orang yang beriman, menantu rasulullah, berjiwa rakyat, prihatin terhadap setinggan yang tidak bertanah, zuhud, anti kronisme, nepotisme dan tidak mementingkan projek mega sedangkan Muawiyah disebaliknya, anak aristokrat metro mekah, meminati keindahan zahiriah dengan pelbagai projek mega seperti pembinaan istana mewah, pakaian berjanama, masjid-masjid indah dengan pelbagai hiasan dan ukiran, pusat pemerintahan baru yang lebih “sofistikated”, membahagikan tanah-tanah rakyat untuk kepentingan politik, mengamalkan politik wang dengan membina pengikut-pengikut setia bukan dengan binaan iman dan taqwa, melantik kroni-kroni sebagai Gabenor diwilayah terokaan baru, menghancurkan musuh politik beliau melalui fitnah dan peperangan, dan memecahkan tradisi perlantikan Khalifah.

PEMIMPIN BERTARAF UNIVERSE VS PEMIMPIN BERTARAF DUNIA

Maka selamanya watak seperti Muawiyah tidak akan dapat disenaraikan didalam kumpulan Pemimpin yang beroleh petunjuk Ilahi (Khulafa Rasyidin) atau pemimpin bertaraf universe. Bukankah juga Mahathir sudah tersingkir atas sebab yang sama ? Pemimpin bertaraf dunia tidak sama dengan pemimpin bertaraf universe. Pemimpin bertaraf dunia hanya perlu sekadar sanjungan diperingkat duniawi yang rendah. Pemimpin bertaraf universe pula tidak mendambakan sanjungan duniawi semata bahkan yang pentingnya mereka beroleh sanjungan dari penduduk langit dan pemilik universe itu sendiri iaitu Allah s.w.t yang Maha Tinggi lagi Maha Terpuji. Secara spiritualnya, pemimpin bertaraf universe mendapat watikah perlantikan jawatan (appointment) dari Allah s.w.t.

Sekadar sanjungan sebagai pemimpin bertaraf dunia (apatah lagi di gelar Mahazalim), tidak akan sewajarnya menjadikan ianya selesa dan sentiasa tenang bahagia dengan sanjungan tersebut. Bagaimana pula “rating” nya disisi Allah ? Ini bukanlah rating Solomon Smith Barney, Standard & Poor, atau pengiktirafan Morgan Stanley seperti yang diperlukan oleh pemimpin yang sekadar bertaraf dunia !

Tamadun yang mahu dibina bukanlah tamadun materialisme dan zahiriah sempit seperti yang dikehendaki oleh Iblis melalui kehidupan duniawi yang pernah dijanji palsukan kepada Adam dan Hawa seketika dahulu. Tamadun yang dibina ialah tamaddun yang bertaraf universe, bersifat bumi dan langit, bersifat fizikal dan spiritual, menjangkau dunia sehingga akhirat.

ANDA PENGIKUT BERTARAF DUNIA ATAU PENGIKUT BERTARAF UNIVERSE ?

Pengikut bertaraf dunia hanyalah pengikut setia membabi buta seperti tentera gerombolan pemberontak yang setia kepada iblis sewaktu peristiwa penyingkiran mereka dari wilayah langit satu ketika dahulu. Mereka gagal membedakan antara kebenaran dan kebatilan, ketinggian dan kerendahan, kemuliaan dan kehinaan, iman dan kufur. Mereka tidak kenal antara berlian dan kaca, antara kehebatan Allah azzawajalla dan ketololan Iblis laknatullah

Maka diatas kedunguan dan kejahilan tersebut, maka pengikut setia membabi buta disesatkan dari jalan kebenaran dan keselamatan. Diatas keserakahan mereka dengan duniawi yang setitis nipis, mereka menggadaikan akhirat yang selaut luas mata memandang.

Maka jadilah mereka alat-alat yang diperkuda semahu-mahunya tanpa harga diri. Jadilah mereka anjing-anjing garang yang sanggup mati mempertahankan tuan mereka yang hanya memberi mereka makan semangkuk nasi basi lebihan semalam. Jadilah mereka keldai-keldai setia pemikul beban tuan mereka sentiasa mengherdik dan memaki kebodohan dan kelembapannya bergerak membawa beban.

Maka tanyalah diri anda, apakah anda mahu menjadi pengikut bertaraf dunia yang setia membabi buta kepada pemimpin bertaraf dunia atau menjadi pengikut bertaraf universe yang setia dengan prinsip kepada pemimpin bertaraf universe….?

Kepada reformis yang berjuang di Masjid Negara hari ini, murnikanlah perjuangan, sucikanlah niat dan pertingkatkan amal agar anda layak digelar pengikut bertaraf universe.

 

Ashraf