ADUAN TERHADAP PERDANA MENTERI MALAYSIA DATO' SERI DR MAHATHIR MOHAMAD

Mohd Ezam bin Mohd Nor
N0 24, Jalan SS7/24
47301 Kelana Jaya
SELANGOR DARUL EHSAN

Kepada
Ketua Polis Daerah Dang Wangi
KUALA LUMPUR

ADUAN TERHADAP PERDANA MENTERI MALAYSIA DATO' SERI DR MAHATHIR MOHAMAD

Saya, Mohamad Ezam bin Mohd Nor, warganegara Malaysia, No K/P 670424-10-6267, beragama Islam, berumur 33 tahun, beralamt seperti di atas, dengan ini mengemukakan satu aduan polis terhadap Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad. Aduan ini berbunyi seperti berikut:

Dr Mahathir Mohamad telah berbohong dan memfitnah Parti Keadilan Nasional dengan menyatakan, "Saya dengar Keadilan hendak ada demonstrasi pada 15 April ini dengan tujuan nak memperingati tentang sesuatu dan mereka sedia nak pukul polis, nak bawa senjata..Kayu dan Molotov Cocktail (bom botol)". Kenyataan tersebut telah disiarkan sebagai berita utama oleh akhbar Utusan Malaysia pada 10 April 2000. Sehingga aduan ini dibuat, tiada penafian dari Dr Mahathir mengenai kenyataan tersebut.

Kenyataan Dr Mahathir itu merupakan suatu perbuatan fitnah, menghasut, bohong dan tidak bertanggungjawab yang telah menyebabkan pihak polis dan sebahagian besar rakyat Malaysia menjadi panik, tidak tenteram, resah dan gelisah. Perbuatan tersebut merupakan suatu kesalahan yang serius memandangkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Sebagai seorang rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, saya mahu pihak polis menyiasat, menahan dan mengheret Dr Mahathir ke muka pengadilan atas kesalahan menghasut di bawah Akta Hasutan. Saya juga menuntut Dr Mahathir mendedahkan sumber maklumat bohong dan plasu yang telah dia perolehi. Saya berharap pihak polis akan segera menyiasat dan dapat memaklumkan hasil siasatan aduan ini kepada saya dengan kadar segera.

Demikianlah aduan saya.

Yang benar,

MOHAMAD EZAM BIN MOHD NOR