Make your own free website on Tripod.com

KENYATAAN MEDIA 


 

Anuar Mohd Nor
noranuar@yahoo.com

Bekas AJK Perhubungan Negeri Wilayah Persekutuaan
Bekas Setiausaha Bahagian Wangsa Maju

Assalamualaikum WBT,

Semoga Malaysia senantiasa di rahmati Allah SWT serta perjuangan menuntut pembebasan Sdr Anwar Ibrahim serta reformasi dalam negara ini di berkati ALLAH SWT.

Ini adalah kali pertama saya muncul memberi kenyataan setelah sekian lama saya cuba untuk membatasi diri dari menyuarakan beberapa ketidak selarasan dalam pentadbiran Parti Keadilan Nasional khususnya Wilayah Persekutuan. Saya akan cuba mengutarakan apa yang tersirat dengan sebaik mungkin sungguhpun saya percaya akan ada suara-suara yang pasti mengatakan bahawa saya telah berpaling arah dan mungkin dibayar.

Suara-suara ini pernah saya dengari apabila beberapa laman web reformasi menyatakan bantahan terhadap Timbalan Presiden KeADILan, Dr Chandra Muzaffar dan Setiausaha Agung keADILan Sdr Mohd Anuar Tahir dan mendesak kedua-dua mereka meletak jawatan pada 24 Mei 2000 dalam kempen mereka "TAFAKUR SEKETIKA". Sungguhpun pelbagai tuduhan dibuat tetapi suatu yang pasti ialah mereka yakni laman-laman Web Reformasi sehingga kini masih terus memperjuangkan tuntutan Reformasi dan tidak ada sebarang tanda-tanda yang mereka sudah diresapi racun UMNO mahupun sudah berpaling tadah. Mereka masih menuntut perubahan dan perjuangan mereka masih berlandaskan tuntutan REFORMASI anjuran Sdr Anwar Ibrahim sungguhpun ada yang mengambil tekanan dari pihak berkuasa.

Sdr yang dirahmati Allah,

Saya tidak pernah meletak jawatan sebagai Setiausaha Bahagian mahupun AJK Perhubungan Negeri Wilayah Persekutuan tetapi percaturan politik di Kuala Lumpur begitu hebat sehinggakan mereka yang memegang jawatan dalam parti tetapi berasal dari mereka yang bergerak menuntut reformasi yang dikenali sebagai reformis tercampak dari menjawat jawatan dalam parti. Kumpulan politikus murahan ini tidak gemar dengan mereka yang digelar "reformis". Mereka menggunakan segala manipulasi politik sehinggakan perlembagaan parti yang sepatutnya digunakan sebagai asas dan peraturan perjalanan parti digunakan untuk mencantas pemegang jawatan yang tidak digemari. Siapa yang saya katakan sebagai politikus murahan adalah Sdr Mohd Anuar Tahir (Setiausaha Agung keADILan)dan rakan politiknya di Kuala Lumpur yakni Suhaimi Salleh (Setiausaha Perhubungan Negeri) dan Onn Abu Bakar (Bekas Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan) bagi mainan mereka di Wilayah Persekutuan.

Tindakan mereka telah mengikat Ketua Perhubungan Negeri Wilayah Persekutuan yakni Sdr Zainur Zakaria sehinggakan Wilayah Persekutuan berpecah dan kelam kabut sebelum pilihanraya umum ke 10. Bagi melunaskan agenda mereka Bahagian-bahagian di Kuala Lumpur telah diarah untuk mengadakan pemilihan (walaupun kita sudah begitu hampir dengan pilihanraya umum ke 10). Rentetan dari ini mana-mana Bahagian yang bukan dari kalangan pendokong Sdr Mohd Anuar Tahir serta kumpulan mereka yakni Sdr Suhaimi Salleh dan Onn Abu Bakar akan di singkirkan dengan pembatalan mesyuarat sungguhpun bantahan itu tidak "justify" dan AJK asal bahagian tersebut tidak di panggil untuk memberi justifikasi.

Sebagai contoh di Wangsa Maju (Wilayah Persekutuan), mesyuarat kali pertama di batalkan oleh Sdr Anuar Tahir dan Mesyuarat kali Ke 2 telah meminggirkan mereka yang dari awal menggerakkan Bahagian Wangsa Maju. Pembatalan mesyuarat tersebut adalah tanpa justifikasi yang sahih dan saya berani mengatakan bahawa ini adalah suatu mainan Setiausaha Agung dalam memastikan agar Bahagian ini terkongkong dibawah telunjuk beliau. Kenapa saya kata begitu adalah kerana sebarang justifikasi yang diberi ditolak oleh Sdr Anuar Tahir dan penolakkan itu di buat dengan berlandaskan Perkara 12 dalam Perlembagaan Parti.

Lihat Scan Dokumen yang di gelar Sijil Mati

Sistem perlaksanaan peraturan Mesyuarat yang di gariskan oleh Setiausaha Agung hanya menunjukkan samada beliau jahil dalam prosedur pentadbiran parti atau mempunyai matlamat serong untuk menjayakan agenda tersendiri. Saya amat terkejut dengan garis paduan perjalanan Mesyuarat yang tidak menuruti asas-asas pentadbiran yang sesuai malah sistem yang berterabur takkala itu tidak memungkinkan kita mengadakan satu pemilihan yang demokratik dan adil.

Sikap Setiausaha Agung yang tidak mahu membincangkan atau mendengar jawapan kepada protes Bahagian Wangsa Maju hanya menunjukkan bahawa beliau mempunyai motif yang tersendiri.

Sewaktu itu saya selaku Setiausaha Bahagian Wangsa Maju telah mengutus surat mengatakan bahawa mereka yang membuat protes terhadap Mesyuarat Bahagian Wangsa Maju terdiri dari Jawatankuasa yang tidak berdaftar sebagai ahli parti keADILan mahupun ahli Bahagian Wangsa Maju. Protes tersebut tidak dihiraukan kerana perancangan mereka adalah untuk mematikan Bahagian sedia ada dan menggantikan dengan Bahagian baru yang boleh memberi sokongan kepada beliau. 

Kenapa sekarang baru saya dedahkan perkara ini?

Saya tidak berhajat untuk memimpin atau memegang sebarang jawatan dalam parti ini. Saya akan menentukan perubahan melalui tuntutan reformasi dan akan senantiasa menyokong Barisan Alternatif berdasarkan ketidak akuran saya terhadap perbuatan memfitnah Sdr Anwar Ibrahim. Sungguhpun begitu saya sentiasa mengharapkan agar "signal" yang diberi oleh laman-laman Pro Reformasi dahulu dapat sedikit sebanyak mengorat perubahan dalam parti. "Signal" dalam BERTAFAKUR SEKETIKA oleh pengurus-pengurus laman cukup kuat tetapi nampaknya ramai kepimpinan yang tahu tetapi takut mengatur perubahan.

Beberapa kepimpinan tahu akan perkara ini tetapi masing-masing mengharapkan masing-masing untuk melaksanakan perubahan. Hari ini saya bangkit mendedahkan perkara ini kerana Sdr Anuar Tahir kini telah beralih menjawat jawatan Timbalan Ketua Bahagian Lembah Pantai kerana manipulasi beliau di Wilayah Persekutuan sudah berjaya dan mungkin melayakkan beliau untuk menjawat jawatan Ketua Perhubungan Negeri Wilayah Persekutuan. Kedudukan Bahagian-bahagian di Kuala Lumpur semua sudah sedia kerana semua AJK lama kini sudah tiada dalam Perhubungan Negeri Wilayah Persekutuan kecuali mereka yang kemaruk jawatan dan sanggup berpaling dari kebenaran yang ada.

Apakah ini membuat kita tawar hati untuk terus mendesak kerajaan untuk melakukan perubahan? Sama sekali tidak. Perjuangan di teruskan sebagaimana laman-laman reformasi yang di tuduh oleh Mohd Anuar Tahir dan Dr Chandra sebagai anasir luar yang telah berpaling tadah, meneruskan perjuangan reformasi mereka.

Sdr yang dirahmati,

7 Bahagian di Wilayah Persekutuan sudah sedar akan mainan politik Suhaimi Salleh dan Onn Abu Bakar dalam mencaturkan politik Wilayah Persekutuan yang dipercayai didalangi oleh Sdr Anuar Tahir. Ketua-ketua Bahagian dari Titiwangsa, Wangsa Maju, Kepong, Batu, Lembah Pantai, Segambut dan Seputeh telah menghantar memorandum kepada Ketua Perhubungan Negeri Wilayah Persekutuan yakni Sdr Zainur Zakaria mengenai perkara tersebut. Malangnya Sdr Zainur Zakaria tidak mengambil langkah bijak dalam mendengar suara majoriti Ketua-Ketua Bahagian Wilayah Persekutuan.

Berikut adalah Memorandum Tanda Tangan Ketua-Ketua Bahagian Negeri yang menolak Suhaimi Salleh dan Onn Abu Bakar yang dipercayai didalangi oleh Sdr Anuar Tahir.
Scan dokumen 1 (Resolusi yang dicapai pada 14/10/2000)
Scan dokumen 2( Tandatangan mereka yang hadir pada mesyuarat asal yang membincangkan mainan politik Suhaimi Salleh dan Onn Abu Bakar)makluman mengenai "detail" mesyuarat itu ada dalam simpanan saya

Bagi menunjukkan bahawa Setiausaha Agung tersebut tidak menghiraukan persoalan demokrasi maka justifikasi pembatalan dari Sdr Anuar Tahir adalah dengan menggunakan Perkara 12, Perlembagaan Parti. Ini tidak langsung demokratik lantas membawa maksud mainan politik untuk menentukan agenda tersendiri beliau terlaksana. Penggunaan ini disedari oleh kepimpinan MPT lain tetapi sekali lagi bagi menjaga imej parti maka perkara ini di diamkan.

Keadaan di Wilayah Persekutuan semakin bergolak dan mainan politik hanya menganggu-gugat perjuangan asal yang kita sepatutnya teruskan.

Sdr Anuar Tahir selaku Setiausaha Agung tidak akan melayan mana-mana tuntutan mahupun mendengar mana-mana bantahan andai mereka bukan dari kalangan rakan politiknya. Bayangkan apabila Bahagian Wangsa Maju menghantar justifikasi bahawa hampir 3 orang yang 5 orang yang menubuhkan Jawatankuasa memprotes mesyuarat Wangsa Maju terdiri dari BUKAN ahli dan hampir 3/4 dari mereka yang menandatangi surat protes tidak pernah wujud dalam Bahagian Wangsa Maju. Ianya terdiri dari keluarga mereka yang protes dan ahli-ahli yang tidak pernah memberi sebarang sumbangan khidmat kepada Bahagian Wangsa Maju. Sdr Anuar Tahir tidak menghiraukannya dan terus mengadakan mesyuarat ulangan dengan tidak memanggil saya sebagai Setiausaha Bahagian yang sewaktu itu masih lagi sah. Dalam mesyuarat itu Sdr Anuar Tahir sendiri hadir dan setelah mencaturkan jawatan dalam Bahagian Wangsa Maju beliau mengarahkan agar semua cawangan di bubarkan dan di tubuhkan cawangan baru.

Masih segar dalam ingatan saya apabila Sdr Zainur Zakaria menalipon saya sewaktu mesyuarat itu sedang berjalan dan bertanyakan kenapa ada ahli yang tidak di benarkan masuk? Saya menjawab:

1. Nama mereka bukan dari daftar ahli Kuala Lumpur yang dibekalkan oleh Perhubungan Negeri.

2. Mereka tidak pernah berdaftar atau menubuhkan cawangan di Wangsa Maju 

3. Mereka tidak diketahui asal penglibatan mereka dalam keADILan.

Prosedur Perhubungan Negeri sewaktu itu mengharuskan sesiapa sahaja yang memegang kad ahli untuk datang sungguhpun AJK Bahagian Asal tidak mengetahui siapa mereka. Apakah ini satu prosedur yang sesuai? Apakah yang terjadi pada Bahagian Batu apabila mesyuaratnya tiba-tiba di hadiri oleh orang yang tidak mereka kenali lantas mengusulkan perubahan dalam AJK asal. Apakah ini demokratik atau ada bunga-bunga percaturan dalam pemilihan Bahagian. Segambut juga menghadapi masalah yang sama apabila mesyuarat tidak memanggil ahli-ahli AJK asal dan di kendalikan oleh Sdr Anuar Tahir.

Saya dalam usaha untuk mengetahui apa yang sebenarnya agenda Anuar Tahir telah berjumpa dengan beberapa Bahagian lain dalam Wilayah Persekutuan. Bahagian-bahagian ini sedar bahawa proses perlaksanaan pentadbiran Parti Keadilan Nasional sudah berceramok sehinggakan mainan politik bagi menguasai keADILan menjadi agenda mereka.

Saya kesal dengan langkah pincang mereka di Kuala Lumpur namun untuk meninggalkan perjuangan menuntut keadilan tidak pernah terlintas di hati ini. Kini Wilayah Persekutuan di wakili oleh rakan-rakan mereka. Kita dapat lihat bagaimana Anuar Tahir adalah antara nama-nama yang tercalon sebagai Naib Presiden Parti Keadilan Nasional. Di beritakan sekarang Anuar Tahir merasakan beliau agak selamat di Wilayah Persekutuan dan menurut berita terakhir Anuar Tahir sudah menjawat Timbalan Ketua Bahagian Keadilan Lembah Pantai dan menantikan saat dan ketikanya untuk mengorat langkah bagi menjadi Ketua Perhubungan Negeri Wilayah Persekutuan.

Banyak Bahagian di Wilayah Persekutuan bergoyang dengan percaturan Suhaimi Salleh dan Onn Abu Bakar yang disokong terus oleh Anuar Tahir. Memandangkan saya terdiri dalam Barisan AJK Perhubungan Negeri Wilayah Persekutuan maka banyak perkara yang saya ketahui tidak mengikut prosedur yang tepat dan betul dan sekali lagi saya tertanya samada adakah ini disebabkan kejahilan Setiausaha Agung dalam menjalankan pentadbiran parti atau ianya satu mainan. 

Di Kuala Lumpur sahaja saya percaya beberapa antara mereka mampu memaklumkan mengenai mainan dan percaturan politik Setiausaha Agung keADILan. Saya percaya mereka mengetahui tetapi sehingga hari ini mereka berdiam kerana takut ini akan merosakkan imej parti. Namun percayalah tidak guna imej dijaga namun hakikatnya keADILan bergolak atas nama mahukan kedudukan dalam parti.

Selama ini ramai antara mereka di Kuala Lumpur khususnya sedar akan mainan politik Anuar Tahir. Mereka menarik diri dari menyertai politik keADILan kerana mereka tahu sebarang tindakan akan menyebabkan mereka di label sebagai "pengkhianat perjuangan" oleh Anuar Tahir yang masih mempunyai kedudukan dalam parti. Namun saya tidak dapat lagi mendiamkan diri kerana selama ini desakan Laman-laman Web Reformasi tidak dihiraukan oleh kepimpinan yang turut sedar masalah dalam keADILan. Penyakit ini pasti berlarutan andai tidak ada initiatif dilaksanakan bagi memperbaharui tekad dan langkah perjuangan kita.

TAFAKUR SEKETIKA ; desakan Laman Web Pro Reformasi

Masih segar dalam ingatan saya satu kempen laman web yang mendesak Dr Chandra Muzaffar dan Sdr Mohd Anuar Tahir untuk meletakkan jawatan. Tarikh itu adalah 24hb Mei 2000. Sungguhpun mereka telah dicerca oleh kepimpinan keADILan khususnya oleh Anuar Tahir dan Dr Chandra tetapi mereka masa disana memperjuangkan reformasi melalui laman-laman web mereka. Apakah dari tarikh mereka melakukan TAFAKUR SEKETIKA yakni hampir melewati 1 tahun lebih, ternampak unsur-unsur bahawa mereka dijajah oleh UMNO? Saya tidak nampak tetapi apa yang saya nampak adalah justifikasi mereka untuk mendesak perletakkan jawatan Dr Chandra dan Anuar Tahir adalah berasas dan satu tindakan berani. 

Saya juga tidak membisingkan perkara ini sehingga hari ini kerana saya dimaklumkan bahawa Perhimpunan Agung ini bakal melihat hasil program Anuar Tahir dan rakan mereka Suhaimi Salleh dan Onn Abu Bakar bagi Wilayah Persekutuan serta negeri-negeri lain.

Hari ini saya dedahkan kepincangan mereka  dan  saya percaya mereka akan mengatakan bahawa saya kecewa dalam parti. Hakikat kekecewaan saya tidak dapat saya nafikan. Tetapi kekecewaan saya bukan kerana tidak dapat tempat dalam kepimpinan parti tetapi lebih kepada kekecewaan atas individu yang mempunyai agenda dan cita-cita politik tersendiri lalu mengorbankan perjuangan asal kita.

Nama-nama rujukan

Sungguhpun saya tidak berkesempatan menghubungi mereka tetapi saya percaya mereka-mereka ini mampu memberi testimonial mengenai apa sebenarnya berlaku pada keADILan Wilayah Persekutuan khususnya mainan Sdr Suhaimi Salleh dan Onn Abu Bakar. Mereka adalah seperti berikut:

1. Mustapa Mansor ( Bekas Ketua Bahagian Batu)(Bekas Timbalan Perhubungan Negeri Wilayah Persekutuan)

2. Nasir Husin (Bekas Ketua Bahagian Wagsa Maju dan bekas tahanan ISA)

3. Kapt (B) Asmah bt Abdul Kadir (Bekas Ketua Bahagian Titiwangsa)

4. Mohd Fadil Abu Bakar ( Bekas Ketua Bahagian Segambut)(Bekas tahanan ISA)

5. M.Zainuddin bin Hj Amran (Bekas Ketua Bahagian Bandar Tun Abdul Razak)

6. Ng Lum Yong ( Ketua Bahagian Seputeh)( Ahli Majlis Tertinggi keADILan) *

7. M.Zulkiflee Mohd Jaafar (Ketua Bahagian Kepong)

8. Aidil Akhbar bin Mohd Yassin (Lembah Pantai)

Andai mereka mahu mengingatkan semula insiden-insiden di Wilayah Persekutuan saya mampu membekalkan Memorandum yang ditandatangani oleh mereka sendiri sebanyak 3 kali. Saya percaya penama-penama diatas sedar bahawa dokumen-dokumen lain ada di tangan saya dan saya mampu menangkis sebarang usul yang mengatakan bahawa kenyataan yang saya beri ini tidak benar.

Saya sendiri percaya bahawa Zainur Zakaria (Ketua Perhubungan Negeri Wilayah Persekutuan) mampu memberi pengesahan bahawa ada perjumpaan antara beliau dengan beberapa Ketua Bahagian Wilayah Persekutuan bagi membincangkan pergolakan Wilayah Persekutuan dan usul pemecatan Suhaimi Salleh dan Onn Abu Bakar.

* Ng Lum Yong tahu akan perkara ini tetapi menarik diri disaat terakhir apabila beliau diminta menandatangai memorandum tersebut.

Sungguhpun begitu saya akan masih mendokong tuntutan reformasi tajaan Sdr Anwar Ibrahim dengan harapan agar perjuangan kita ini mampu membebaskan beliau dari terkurung dalam kelabu kezaliman.

Ikhlas

Anuar Mohd Nor 
noranuar@yahoo.com
Bekas Setiausaha Keadilan Bahagian Wangsa Maju
Bekas AJK Perhubungan Negeri Wilayah Persekutuan