Kenyataan akhbar sdr. Ezam Mohd Nor

Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri berhubung dengan usaha rakyat untuk menyerahkan memorandum rakyat pada 15 April 2000 ini. Perdana Menteri telah menuduh usaha ini sebagai satu agenda rusuhan ganas yang dibuat untuk mencetuskan keadaan huru hara di negara ini.

Rakyat yang berhimpun pada 15 April ini adalah rakyat yang prihatin terhadap kezaliman yang berlaku di negara ini di zaman pemerintahan Mahathir Mohamad. Rakyat akan memperingati tarikh 14 April, tarikh di mana Dato' Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara 6 tahun, sebagai HARI KEZALIMAN MAHATHIR. Rakyat harus terus diingatkan dan dididik untuk memahami erti kezaliman dan membina tekad untuk menentang kezaliman.

Saya mencabar Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad untuk membuktikan segala bentuk perancangan yang dibuat oleh mana-mana pihak yang didakwa mempunyai unsur-unsur keganasan. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab saya tetap menolak sebarang unsur keganasan dan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mempastikan keganasan tidak berlaku. Saya bercadang untuk menemui pihak Polis Diraja Malaysia untuk bekerjasama mempastikan keganasan dapat dihindarkan. Saya menyeru seluruh rakyat yang akan hadir pada 15 April ini untuk tidak membawa sebarang bentuk objek yang boleh dilihat sebagai senjata malah kayu bendera juga tidak akan kita benarkan untuk dibawa pada hari tersebut dan sekiranya dibawa kita akan mempastikan ianya diserahkan kepada pihak polis pada hari tersebut.

Kenyataan Mahathir semalam adalah tindakan seorang pemimpin yang gelabah dan takut dengan kebangkitan dan kesedaran rakyat. Beliau faham semakin dalam rasa kebencian rakyat terhadap kezaliman maka semakin meneballah kebencian rakyat terhadap beliau sebagai seorang pemimpin yang paling zalim dan kejam yang pernah dilahirkan oleh negara ini. MEMORANDUM RAKYAT adalah suara hati rakyat yang cintakan keamanan dan memohon simpati serta keprihatinan Raja-raja Melayu untuk mengambil tindakan sewajarnya kepada Perdana Menteri yang zalim ini. Masalah perpecahan Melayu yang digembar-gemburkan oleh Mahathir akhir-akhir ini adalah angkara kezaliman beliau. Dalam sejarah kepimpinan negara ini kita tidak pernah menyaksikan seorang pemimpin yang sekejam dan sezalim Mahathir Mohamad. Beliaulah pemimpin Melayu pertama yang menghina Rasullullah S.A.W., menghina alim ulama, bertindak kejam dan ganas kepada musuh politiknya, memulakan politik fitnah dan politik dendam, mengunakan jentera kerajaan untuk menggugut dan memeras pemimpin dan rakyat.

15 April ini adalah hari rakyat memperingati kezaliman seorang manusia yang bernama Mahathir Mohamad. Memperingati kezaliman ini penting supaya rakyat benar-benar faham akan makna keadilan. Rakyat yang berani dan terus dengan cita-cita untuk menyerahkan memorandum ini pada tarikh tersebut adalah merupakan rakyat yang akan dikenang oleh sejarah sebagai rakyat yang bermaruah dalam sebuah negara yang berdaulat. Kami akan hadir sebagai rakyat Malaysia yang menolak sebarang bentuk kezaliman. Kami tidak mewakili mana-mana parti atau organisasi. Kami hadir sebagai rakyat biasa yang mewakili suara hati rakyat yang menentang kezaliman. Saya sendiri akan hadir bukan sebagai Ketua Pemuda keADILan tetapi sebagai rakyat biasa yang bertanggungjawab yang akan terus berusaha sedaya upaya untuk mengembalikan maruah rakyat dan negara yang tercemar dengan kezaliman yang dilakukan oleh Mahahtir Mohamad.

 

Mohamad Ezam Mohd Nor
10 April 2000