KENYATAAN AKHBAR SDR EZAM MOHD NOR

KETUA PEMUDA KEADILAN MALAYSIA

3hb April, 2000 – Ibu Pejabat Parti Keadilan Nasional

Kerajaan Barisan Nasional baru sahaja memenangi kerusi DUN Sanggang, Pahang. Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, semalam menyifatkan kejayaan itu akibat pengundi dan rakyat sudah melupakan layanan buruk yang diberikan ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri dan pemimpin kita, Dato’Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor, mengaku bersalah bulan lalu atas tuduhan mengakibatkan "kecederaan ringan" kepada Anwar. Ini adalah hasil kerjasama Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, mengubah tuduhan itu untuk membolehkan bapak penjenayah Rahim Noor mengaku bersalah dan hukumannya sangat minima, iaitu dua bulan penjara dan denda RM2,000.

Dua minggu lalu, Kementerian Dalam Negeri di bawah pimpinan baru, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pula memutuskan permit majalah yang bebas dan diusahakan secara persendirian, DETIK, tidak disambung semula. Ini bermakna menteri berkenaan sengaja mengharamkan majalah yang berani mengkritik kerajaan Barisan Nasional.

Pada awal bulan lalu, KDN juga menghalang penerbitan akhbar milik PAS, Harakah, daripada diterbitkan seperti biasa, lapan kali setiap bulan. Sebaliknya Menteri Dalam Negeri membenarkan Harakah diterbitkan dua kali sahaja sebulan.  Apabila rakyat bangkit membantah, tujuh orang daripada mereka telah didakwa di mahkamah kerana menyertai bantahan pada 11 Mac 2000 lalu di Masjid Negara.

Akhir bulan lalu pula, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Kamaruddin Ali mengarahkan larangan terhadap sebarang perhimpunan politik dan bukan politik di ibukota. Larangan itu berkuatkuasa serta-merta, kononnya kerana perhimpunan yang diadakan di Masjid Negara pada 11 Mac itu.

Apakah makna tindakan-tindakan politik ini?

Ini membuktikan Barisan Nasional di bawah pimpinan Dr Mahathir apabila semakin berkuasa, semakin mudah mereka menindas rakyat. Mereka tidak lagi mempedulikan hak-hak rakyat untuk bersuara, menulis dan berkumpul. Penindasan ini semua mestilah dibantah sekeras-kerasnya oleh rakyat.

Oleh yang demikian, Pergerakan Pemuda Parti KeADILan Nasional menyeru Rakyat Malaysia daripada segenap pelusuk tanahair untuk bangkit berhimpun secara aman bagi membantah sekatan, kongkongan, penindasan dan kezaliman ini. 14hb April, 1999 merupakan hari dimana Dato’ Sri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman 6 tahun penjara.  Tarikh ini merupakan kemuncak kepada semua kezaliman yang dilakukan oleh Dr. Mahathir sepanjang tempoh beliau menjadi Perdana Menteri. 

Mulai dari hari ini, tarikh ini akan kami peringati sebagai “Hari Memperingati Kezaliman Mahathir”ataupun  “The Black 14”.  Sempena genap setahun “Hari Memperingati Kezaliman Mahathir” ini kami akan menganjurkan satu mobilisasi Rakyat Malaysia secara besar-besaran mulai 14hb April, dimana kita akan menaiki keretapi, bas express dan kereta daripada setiap penjuru tanahair untuk turun berhimpun di Masjid Negara pada 15hb April, 2000, jam 3.00 petang.

Perhimpunan ini bertujuan bagi menyerahkan memorandum rakyat kepada Seri Paduka Baginda DYMM Yang Di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-raja Melayu. Rakyat akan memperjelaskan kepada DYMM Yang Di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-raja Melayu tentang senario politik sebenar apa yang sedang berlaku dan akan meminta Raja-raja Melayu supaya mengembalikan kedaulatan sistem kehakiman dan institusi asas negara yang lain.

Khusus untuk agenda ini, bagi mendapatkan partisipasi dari segenap lapisan masyarakat yang dahagakan perubahan, saya dengan ini melancarkan laman web rasmi "The Black 14" di alamat:

  • http://reform-black14.tripod.com

    MUHAMAD EZAM MOHD NOR
    3 April 2000