Kenyataan Rasmi Perhimpunan Black 14 Peringkat Negeri Kelantan dan Perak

Kenyataan Rasmi

Lokman Noor Adam

21hb April, 2000 - Kota Baharu, Kelantan

Assalamualaikum w.b.t.

Didoakan semoga semua teman-teman seperjuangan terutamanya yang berada di dalam lokap PDrM, sentiasa berada dibawah perlindungan Allah dan diberikan kekuatan untuk meneruskan perjuangan ini.

Pelancaran Pertama Hari Memperingati Kezaliman Mahathir Peringkat Negeri telahpun selamat kita laksanakan di Teluk Kumbar, Pulau Pinang pada 18hb April yang lalu.

Hari ini, InsyaAllah usaha yang sama akan kita laksanakan di Negeri Kelantan Darul Naim. Walaupun makluman tentang program ini hanya dimaklumkan di saat-saat akhir, nampaknya PDrM Kelantan kelihatan begitu gelabah sekali.

Beberapa orang AJK Pemuda Keadilan Negeri telah menyertai saya dalam senarai buruan pihak Polis. Alhamdulillah, sehingga pagi ini, semangat yang ditunjukkan oleh teman-teman di Kelantan masih luar biasa.

Saya yakin, dengan semangat ini dan keberanian luar biasa rakyat Kelantan, mereka akan memperlihatkan kejayaan perhimpunan pada jam 2.00 petang di Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Nilam Puri, Kota Baharu, Kelantan. Jika perhimpunan ini tidak diganggu teruk oleh PDrM, kita akan dapat menonton Rakyat Kelantan membuktikan kegagahan mereka mengatur langkah ke Istana Negeri Kelantan untuk menyerahkan Memorandum Rakyat kepada DYMM Sultan Kelantan.

Pada 23hb April ini pula, Pelancaran Hari Memperingati KeZALIMan Mahathir Peringkat Negeri Perak akan dilaksanakan di Bandar Baru Putra, Bercham, Ipoh, Perak pada jam 9.00 Malam. Selain daripada ketiga-tiga perhimpunan ini, beberapa perhimpunan di negeri lain sedang diatur bagi memastikan Memorandum Rakyat Malaysia akan dapat kita serahkan kepada Ke Bawah Duli Raja-Raja Melayu di setiap Istana Negeri.

Salam Reformasi

 

LOKMAN ADAM
OT31/98
GERAKAN REFORMASI MALAYSIA
10.45am - 21hb April, 2000
Kota Baharu, Kelantan