Inisiatif Manifesto Rakyat : Kenyataan Akhbar berkenaan Perhimpunan "Black 14"

INISIATIF MANIFESTO RAKYAT

Jawatankuasa Penyelaras Bosses Group, Ex-ISA Detainees Group, Gabungan Rumah Panjang, Group of Concerned Citizens, Jawatankuasa Sokongan Peneroka Bandar, Majlis Graduan Malaysia, Persatuan Masyarakat Selangor & Wilayah Persekutuan, Persatuan Sahabat Wanita Selangor, Pusat Komunikasi Masyarakat, Women’s Candidacy Initiative, Suara Rakyat Malaysia.

c/- 21 Jalan Muhibbah 8, Taman Muhibbah, 43000 Kajang, Selangor tel-fax: 60-3-873 78380 >

KENYATAAN AKHBAR 13 April 2000

Kami dari pelbagai badan bukan kerajaan yang menganggotai gabungan Inisiatif Manifesto Rakyat ingin membantah sikap kerajaan dengan sekeras-kerasnya, khususnya kepimpinan yang mengeluarkan amaran umum seolah-olahnya akan wujud rusuhan dan keganasan pada hari Sabtu ini.

Sejak tertubuhnya kerajaan baru pada awal bulan Disember, beberapa insiden telah berlaku yang telah menghakis sistem demokrasi di negara ini. Antaranya adalah penangkapan dan pendakwaan terhadap ahli politik parti pembangkang dan peguam, penggunaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan terhadap beberapa media alternatif yang menyuarakan pendapat yang berbeza dari pihak kerajaan. Pada pandangan kami, tindakan-tindakan ini menyempitkan ruang demokrasi di negara kita dan sememangnya penindasan terhadap suara rakyat sebegini merupakan satu tindakan autokrasi.

Justeru itu, kami amat prihatin terhadap kenyataan dan amaran yang telah dibuat oleh pihak kerajaan dan pihak polis bahawa tindakan yang keras akan diambil terhadap rakyat yang ingin berkumpul pada hari Sabtu ini. Menurut kenyataan umum, Sabtu ini merupakan satu hari di mana rakyat mahu solat beramai-ramai seterusnya menghantar memo kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung. Perhimpunan tersebut merupakan aspirasi rakyat yang ingin memperingati nasib bekas timbalan perdana menteri dan juga sistem keadilan di negara ini.

Pertama, kami menyeru agar pihak kerajaan menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman. Hak berhimpun dan bersuara adalah hak asasi manusia yang diakui sejagat demi menyuarakan keprihatinan dalam sesuatu isu dan sememangnya hak ini termaktub di dalam perlembagaaan negara kita. Berhimpun merupakan salah satu saluran yang sah untuk menyuarakan pendapat atau aspirasi rakyat.

Kedua, kami berpendapat bahawa Kerajaan atau kepimpinan yang bertanggungjawab tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang mengelirukan keadaan dan menakutkan rakyat. Andainya wujud bukti yang padu bahawa akan berlakunya keganasan pada Sabtu ini, kami menyeru agar pihak polis memanggil semua pihak yang membuat kenyataan tersebut dan menyiasat serta meminta bukti. Kalau tidak, ia merupakan suatu fitnah yang harus dihentikan segera kerana ia akan mewujud rasa takut dan ketidaktenteraman awam.

Ketiga, kami membantah sekeras-kerasnya jikalau pihak polis tidak menghormati hak berhimpun secara aman dan menggunakan keganasan terhadap rakyat yang berhimpun. Banyak kes-kes perhimpunan awam yang dijalankan sebelum ini sering menjadi kelam kabut akibat dari serangan polis dengan cara ganas terhadap para hadirin yang berhimpun secara aman. Justeru itu, kita menyeru agar polis mengambil sikap professional dan tidak menggunakan kekerasan terhadap rakyat. Malah kami menggesa pihak polis supaya memastikan tidak berlakunya provokasi dari pihak-pihak tertentu yang boleh menafikan hak rakyat bersuara dan berhimpun secara aman untuk menuntut keadilan dan demokrasi dikembalikan semula di negara ini.

Keempat, kami ingin menggesa agar pihak Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia menghantar perwakilannya untuk memantau situasi sebenar pada perhimpunan rakyat 15April 2000. Jikalau wujudnya sebarang provokasi atau keganasan, pihak suruhanjaya perlu harus ambil tindakan segera agar pihak yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.

Akhirnya, kami menyeru bahawa kerajaan Malaysia dan jua pihak polis agar menghentikan kenyataan-kenyataan yang mengelirukan dan menakutkan rakyat. Kami membantah sekeras-kerasnya mana-mana pihak yang cuba membuat provokasi atau keganasan.

Di sini kami ingin mengulangi bahawa hak bersuara dan berhimpun secara aman adalah satu hak yang termaktub dalam satu negara demokrasi yang menghormati prinsip keadilan dan hak asasi manusia.

 

Jurucakap Inisiatif Manifesto Rakyat:
Irene Xavier

Ditandatangani oleh Jawatankuasa Penyelaras Inisiatif Manifesto Rakyat:

Ex-ISA Detainees Group
Gabungan Rumah Panjang
Group of Concerned Citizens
Jawatankuasa Sokongan Peneroka Bandar
Majlis Graduan Malaysia
People Are the Boss
Persatuan Masyarakat Selangor & Wilayah Persekutuan
Persatuan Sahabat Wanita Selangor
Pusat Komunikasi Masyarakat
Suara Rakyat Malaysia.
Women’s Candidacy Initiative,

Turut menandatangani

Agenda Wanita Untuk Perubahan.

 
PRESS CONFERENCE 

·	BY INISIATIF MANIFESTO RAKYAT ON THE  BLACK 14TH.


Date :	13th. April 2000
Time : 	12.00pm.
Venue :  	Conference Room,


·	BY MALAYSIAN HUMAN RIGHTS DELEGATION TO THE 56TH.
SESSION OF THE UN HUMAN RIGHTS COMMISSION

		Date :	13th. April 2000
		Time : 	1.00pm.
		Venue :  	Conference Room,



Make your own free website on Tripod.com