Memorandum Rakyat

 

Memorandum Terkini

10 Muharram 1421
15 April 2000

Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah Al-Haj serta Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.

MEMORANDUM RAKYAT MEMOHONDYMM RAJA-RAJA MELAYU MENGGANTUNG PERKHIDMATAN MAHATHIR MOHAMAD SEBAGAI PERDANA MENTERI MALAYSIA SEMPENA HARI MEMPERINGATI KEZALIMAN MAHATHIR.

Ampun Tuanku, Beribu-Ribu Ampun, Sembah Patik Harap Di Ampun.

Patik-patik sekelian, rakyat Ke Bawah Duli Tuanku, warganegara Malaysia yang cintakan keadilan, keamanan dan kemakmuran merafak sembah dan memohon limpah perkenan Ke Bawah Duli Tuanku dan Raja-Raja Melayu untuk mengambil tindakan segera demi untuk menyelamatkan martabat dan kesucian Agama Islam serta menyelamatkan maruah Bangsa Malaysia dari dicabul kehormatannya.

Selaku Payung Negara Yang Berdaulat, kepada Ke Bawah Duli Tuankulah tempat rakyat mendampar kasih, mengadu dan berlindung dari segala kekejaman dan kezaliman serta keangkuhan seorang Perdana Menteri. Perdana Menteri yang sekarang ini sedang bermaharajalela, beraja dimata, bersultan dihati dengan merosakkan semua sistem demokrasi yang ada yang selama ini menjamin hak rakyat untuk hidup sebagai bangsa yang bermaruah.

Demi kedaulatan negara Malaysia tercinta, patik-patik sekelian memohon kepada Ke Bawah Duli Tuanku dan Raja-Raja Melayu, sudi apalah kiranya, mencemar Duli untuk meneliti Memorandum Rakyat ini yang di dalamnya mengandungi beberapa pengaduan dan permohonan rakyat.

PERTAMA, patik-patik sekelian memohon limpah perkenan Ke Bawah Duli Tuanku danRaja-Raja Melayu, supaya mengambil tindakan segera, tegas dan keras terhadap Mahathir bin Mohamad, seorang rakyat Malaysia berusia 75 tahun dengan menggantung tugas dan jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia, dimana beliau telah mempersenda hukum-hukum yang terkandung dalam Agama Islam dan menghina Sunnah Junjungan Mulia Nabi Muhammad S.A.W.

Mahathir juga, telah menyalahgunakan kuasa dan pengaruhnya sebagai Perdana Menteri untuk menindas dan memecat Alim Ulama hanya semata-mata kerana mereka enggan menyokong dan bersekongkol dengan dasar-dasar yang dibawanya, yang jelas menghina kesucian Agama Islam. Tingkah laku terkutuk Mahathir ini, boleh menyebabkan meletusnya kemarahan rakyat dan berlakunya perpecahan yang dahsyat dikalangan umat Islam di negara ini.

Oleh itu, sebagai penganut Agama Islam dan sesuai dengan kedudukan Ke Bawah Duli Tuanku dan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam, maka patik-patik sekelian memohon limpah perkenan Ke Bawah Duli Tuanku dan Raja-Raja Melayu, sudi apalah kiranya mencemar duli bertindak mempertahankan martabat agama yang suci ini.

KEDUA, patik-patik sekelian memohon limpah perkenan Ke Bawah Duli Tuanku dan Raja-Raja Melayu untuk turut bertindak terhadap Abdul Rahim Noor, seorang rakyat Malaysia berusia 55 tahun yang telah dengan sengaja mengikut telunjuk dan arahan Mahathir memukul dengan niat membunuh salah seorang rakyat Ke Bawah Duli Tuanku iaitu Dato' Seri Anwar Ibrahim. Cadangan pendakwaan terhadap Abdul Rahim Noor seperti yang terkandung dalam Lapuran Suruhanjaya Siasatan Di Raja telah diengkari dan di khianati sepenuhnya. Justeru itu, hakim-hakim, Pendakwaraya dan Peguam Negara yang di lantik atas nama Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, jelas telah bersekongkol dengan Mahathir dengan menjatuhkan hukuman yang teramat ringan ke atas Abdul Rahim Noor. Patik-patik sekelian memohon limpah perkenan Ke Bawah Duli Tuanku dan Raja-Raja Melayu supaya menghukum Mahathir dan Abdul Rahim Noor di samping menggantung jawatan mereka yang bersekongkol dengan kezaliman Mahathir yang masih dalam perkhidmatan kerajaan.

KETIGA, patik-patik sekelian memandang berat sikap Mahathir yang mahu menjadikan Ke Bawah Duli Tuanku dan Raja-Raja Melayu sebagai senjata utama dalam memerangi rakyat yang bencikan kezalimannya. Ketika UMNO dan Barisan Nasional berada di puncak kekuatan, ketika itulah Mahathir telah mengaib, menghina dan menconteng arang dimuka Raja-Raja Melayu. Tidak semena-mena, perlembagaan negara yang melibatkan Raja-Raja Melayu di pinda dengan rakus pada tahun 1983 dan 1993. Menerusi pindaan itu Mahathir telah merampas kedaulatan dan kekuasaan Raja-Raja Melayu. Hari ini, setelah UMNO dan Barisan Nasional berada dalam keadaan terlalu lemah, tanpa segan dan silu, Mahathir mahu memperalatkan Raja-Raja Melayu bagi menyelesaikan masalah perpecahan Melayu. Mahathirlah punca segala-galanya.

Apapun, pada pandangan patik-patik sekelian, rakyat Malaysia khususnya Bangsa Melayu, tidak pernah berpecah sebaliknya rakyat sedang bersatu dan bernaung di bawah Kedaulatan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan Ke Bawah Duli Raja-Raja Melayu dalam menghadapi kezaliman Mahathir. Patik-patik sekelian berdoa dan berharap Ke Bawah Duli Tuanku dan Raja-Raja Melayusedar akan tipu helah dan muslihat jahat Mahathir ini.

Ampun Tuanku, dengan ini Patik-Patik sekalian memohon perkenan Ke Bawah Duli Tuanku dan Raja-Raja Melayumenggantung jawatandan perkhidmatan Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Daulat Tuanku.

Patik-patik yang merafak sembah,

 

RAKYAT MALAYSIA