DARI MEJA PENGARANG

Sesungguhnya tanggal 14 April 1999 adalah detik bermulanya suatu senario di mana proses keadilan itu telah dicemarkan secara total buat julung-julung kalinya di Malaysia dalam keadaan zahiriah dan batiniah. Kalau dahulu, mungkin ada berlakunya ketidakadilan dalam gelap, namun tanggal 14 April 1999 menjadi bukti dan ianya adalah gambaran kezaliman seorang manusia bernama Mahathir dalam usahanya untuk melenyapkan terus seorang insan yang bernama Anwar Ibrahim dari lipatan sejarah.

Namun, SUARA RAKYAT tidak akan malap. Kita kini berhadapan dengan seorang yang bersifat diktator. Sejarah dan sifat manusia biasanya tidak berubah. Maka rentetan sejarah yang pernah berlaku dahulu hanya menunggu masanya sahaja. Memang pasti sejarah telah membuktikan segala diktator di dunia ini, dengan izin Allah s.w.t akan tewas di tangan RAKYAT. Apa yang digeruni oleh diktator ini?? Adakah mereka gerun dengan senjata? Adakah mereka gerun dengan bala tentera yang maha dahsyat? Adakah mereka takutkan musuh dalam selimut dan unsure-unsur subversif dalaman? Tidak…tidak sekali-kali. Mereka hanya gerunkan KUASA RAKYAT.

Tidak syak lagi. SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT. Kehebatannya persis asteroid yang membelah bumi. Walau saiznya kecil namun momentum kelajuannya yang begitu hebat menjadi pemangkin untuk bagi menghasilkan kawah yang begitu besar wujud di muka bumi.

Ulangtahun pertama Memperingati Kezaliman Mahathir ini bakal menjadi suatu noktah di atas kesabaran rakyat selama ini. Rakyat telah cukup bersabar menerima segala tekanan, penindasan dan kezaliman doktor tua yang tidak mengenal erti perikemanusiaan dan melepaskan jawatan takkala nadi masih berdenyut dan kubur menanti dengan penuh pasti. Pentas untuk kita terus mencetuskan semula momentum rakyat yang telah lama dibakar semenjak 20 September 1998 tidak sewajarnya ditontoni sahaja, terutamanya buat generasi muda.

Ayuh marilah kita sama-sama bangkit untuk memberi isyarat kepada diktator tua ini. Memang setiap perjuangan itu ada duri dan onaknya namun fikirlah secara matang. Kita sebagai generasi muda yang bakal mewarisi tampok kepimpinan negara ini, mahukah kamu mewarisi sebuah kerajaan yang sudah punah. Perjuangan ini menuntut setiap insan yang mengalir ditubuhnya darah pejuang yang berjiwa suci untuk bangkit mengetuai barisan hadapan "Pejuang The Black 14".

Pak Nasir, Perdana Menteri Indonesia takkala Sukarno menjadi Presiden pernah berbicara "Takkala Agamaku, Bangsaku dan Negaraku diancam, maka akan lahir anak-anak muda yang tidak bernama yang akan bangkit mempertahankannya. Begitu juga dengan kenyataan Ayatullah Khomaini tika diseksa oleh tentera Iran, bila askar yang menyiksanya bertanya kepada beliau, siapa yang akan menyelamatkan kamu sekarang, Ayatullah Khomaini menjawab "Anak-anak yang masih berada didalam perut ibunya.

Saudara segenerasiku sekalian, kita sudah tidak mampu lagi berharap pada yang sudah kurang upaya, jangan kita sia-siakan usia muda ini. Pergunakan khudrat yang dikurniakan Allah s.w.t. semoga suatu hari nanti, kuburan kita tidak dikencingkan dik cucu cicit kita kerana kita hanya menjadi penonton kepada kezaliman yang sedang berlaku.

BURHAN DAUD

burhandaud@ikhlas.com