Kenyataan Akhbar 10 April, 2000 Perdana Menteri Tidak Boleh Mencabuli Hak Rakyat

SUARAM MEPERJUANGKAN HAK ASASI MANUSIA SUARA RAKYAT MALAYSIA WORKING TOWARDS HUMAN RIGHTS

K.L. Office: 383 (1st Floor), Jalan 5/59, Petaling Gardens,
46000 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia
Tel: 603-77843525, 77820357 Fax: 603-77843526
J.B.Office: 8, Jalan Kebudayaan 25, Taman Universiti, Skudai, Johor. Tel/fax: 07-5211951
Email:suaram@geocities.com http://www.suaram.org

Kenyataan Akhbar 10 April, 2000
Perdana Menteri Tidak Boleh Mencabuli Hak Rakyat

Suaram AMAT TERKEJUT DENGAN kenyataan YAB Perdana Menteri Malaysia bertarikh 9 April, 2000 yang melemparkan tuduhan liar terhadap rakyat Malaysia yang ingin menuntut reformasi atau perubahan. Dato Seri Dr.Mahathir telah memutarbelitkan fakta dan memberi gambaran negatif seolah-olah parti pembangkang dan rakyat Malaysia yang berjiwa reformis adalah golongan ganas yang segaja melanggar undang-undang demi mencetuskan huru-hara.

SUARAM membantah Kenyataan PM itu yang nampaknya seolah-olah memberi isyarat untuk pihak polis bertindak keras terhadap para penuntut reformasi. Kami berharap pihak polis akan bersikap profesional, terbuka dan bebas daripada pengaruh politik ketika menilai perhimpunan aman rakyat. Berdasarkan pengalaman dahulu, perhimpunan rakyat dijalankan dengan penuh disiplin dan aman. Keadaan hanya menjadi kecoh apabila polis bertindak keras memukul, mengejar dan menembakan "water cannon" terhadap peserta perhimpunan yang datang bersama-sama dengan ahli keluarga mereka. Tidak pernah ada sebarang kerosakan besar yang berlaku terhadap mana-mana premis atau harta benda dilaporkan.

Kenyataan Dr.Mahathir sebenarnya harus ditakrifkan dari segi konteks semangat perlembagaan Malaysia dan kebebasan yang semakin terhakis di Malaysia. Inilah percubaan beliau untuk memutarbelit dan mengaburi pemikiran rakyat terhadap isu sebenar yang melanda sistem demokrasi, keadilan dan hak asasi manusia. Kerajaan BN terutamanya UMNO telah kehilangan sokongan rakyat akibat aman korupsi, kronisme dan nepotism. Maka mereka cuba menentang arus kesedaran rakyat dengan undang-undang yang bersifat represif dan menidakkan hak asasi manusia seperti ISA, OSA, AUKU dan Akta Hasutan. Melalui media massa yang dimanipulasi secara halus, Dr.Mahathir cuba mengugat rakyat dan menyebarkan budaya "takut" untuk mengekalkan pengaruhnya. Oleh itu Dr.Mahathir nampaknya mengintepretasikan undang-undang secara sempit dan mengikut kepentingan politiknya sahaja. Sebenarnya perhimpunan aman adalah sesuatu hak yang termaktub dalam Perlembagaan Negara perkara 10.

Beberapa insiden baru-baru ini menyebabkan krediabiliti polis bertindak secara profesional dan bebas daripada kepentingan politik pemerintah dipersoalkan. SUARAM amat dukacita dengan tindakan polis yang telah membawa dua trak FRU untuk memberhentikan acara sukan tarik tali sempena perayaan Ulang Tahun KeADILan yang diakan di Gombak. Tindakan polis ini jelas tidak matang dan menyekat kebebasan asas rakyat untuk berkecimpung dalam aktiviti politik dan sosial.

Harus difahami segala aktiviti Parti Pembangkang dan Reformasi dijalankan secara terbuka dan dibuat secara "transparent" dengan maklumatnya disebar luas. Pihak berkuasa tidak harus bertindak seolah-olah golongan reformis adalah merbahaya.Kenyataan awal Ketua Polis Kuala Lumpur Kamarudin Ali yang menyatakan perhimpunan aman pada 15 April adalah haram amat bertentangan dengan semangat perlembagaan, Perkara 10 yang menegaskan rakyat mempunyai hak untuk bertindak, berpersatuan dan menyuarakan pendapat mereka.

Oleh itu SUARAM menuntut agar Perdana Menteri untuk tidak memberi kenyataan yang berunsur ugutan dan memutarbelitkan fakta. Pihak polis pula seharusnya bertindak matang, neutral dan memberikan sokongan keselamatan kepada para peserta perhimpunan aman. Sudahlah tiba masanya kerajaan BN dan pihak polis mengakui kelemahan dan menukar paradigma pemikiran mereka dengan mengadakan perbincangan jujur antara rakyat untuk memperbaiki sistem demokrasi dan keadilan yang semakin terhakis.

Ingat rakyat adalah tuan dan Perdana Menteri tidak boleh merampas hak rakyat !

Diterbitkan Oleh,

Justin Yong
Penyelaras SUARAM


--------------------------------------------------------
ABOLISH I.S.A.! MANSUHKAN I.S.A!
JUSTICE IN MALAYSIA! WEAR A WHITE RIBBON! 
---------------------------------------------------------

SUARA RAKYAT MALAYSIA (SUARAM)
struggling for human rights in Malaysia

add: 383, 1ST FLOOR, JALAN 5/59, PETALING GARDENS
46000 PETALING JAYA, SELANGOR, MALAYSIA
tel: 60-3-7943525 fax: 7943526
email: suaram@geocities.com
website:http://www.suaram.org